At Blog to fb At Blog to fb At Blog to fb

ARTIKEL TERKINI

Showing posts with label Monumen Jugra. Show all posts
Showing posts with label Monumen Jugra. Show all posts

Makam Almarhum Sultan Abdul Samad, Jugra

Written By Unknown on Sunday, 15 September 2013 | 14:41

Sebagaimana pusara bagi orang kebanyakan, yang sentiasa dikunjungi oleh kaum kerabat, maka bagi makam sultan ini juga sentiasa dikunjungi terutama oleh kaum kerabat diraja, bahkan oleh rakyat jelata juga. Oleh yang demikian, makam Sultan Abdul Samad ini, yang terletaknya di atas Bukit Jugra itu, sentiasa dijaga dengan rapi dan terus terpelihara.

Makam Diraja Jugra merupakan sebahagian dari bukit Jugra yang telah dipilih sebagai kawasan permakaman keluarga Diraja Selangor pada tahun 1886. Kawasan ini juga dikenali sebagai Kompleks Makam Diraja dan secara keseluruhannya, kawasan permakaman ini berpagar.


Di satu kawasan yang luasnya lebih kurang 5 ekar, terdapat antara lain, sebuah binaan batu yang besar, dan di dalamnya terdapat makam Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Abdullah yang telah mangkat pada bulan Februari 1898, memerintah dari tahun 1859 hingga 1898. Manakala makam-makam lain yang terletak di bahagian luar kompleks adalah Makam Almarhum Tengku Muda Musa, Makam Almarhum Tunku Alfah Binti Almarhum Sultan Abdul Samad, Makam Almarhum Tunku Jaafar, Makam Tunku Yaakob, Almarhum Tunku Maharum, Almarhum Raja Berkat, Makam Almarhum Tengku Muteh Ibni Sultan Abdul Samad.


Di luar bangunan itu, terdapat beberapa perkuburan, terutama yang berhampiran dengan bangunan itu adalah pusara kerabat diraja, dan sesetengahnya adalah bangunan lebih kecil seperti pusara Yang Mulia Raja Kahar, Tengku Maharum, dan Raja Muda Musa yang mangkat pada tahun 1884. Pada masa ini, kira-kira 90m daripada makam ini, disediakan sebuah padang tempat letak kereta. Dari situ, untuk sampai ke makam, disediakan tangga batu untuk memudahkan para pelawat melawat ke atas. Bekalan api dan air juga diadakan di sekitar kawasan makam itu.





Perigi Lama Bukit Jugra

Written By Unknown on Thursday, 11 July 2013 | 10:29


Tiga buah perigi lama berhampiran kawasan Muzium Jugra, dipercayai tersimpan khazanah purba yang ditinggalkan semasa zaman penjajahan Inggeris. Khazanah ini mungkin boleh dikaitkan dengan zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad yang memerintah Selangor dari tahun 1895 hingga 1898.

Justeru Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) yang sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Muzium Selangor, telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan kerja-kerja ekskavasi (cari gali) bagi mengesan khazanah berkenaan.

Dalam melaksanakan kerja-kerja carigali ini, mereka menemui perigi di sekitar tapak ini yang dipercayai digunakan sebagai sumber air pada masa dahulu. Selain penemuan perigi, pihaknya juga menemui beberapa antifak sejarah seperti serpihan seramik, tembikar, porselin dan logam, termasuk duit syiling lama.


Setakat ini mereka sudah menjumpai pelbagai barangan seramik yang dipercayai dari Belanda. Selain itu dijumpai juga seramik dari negara China yang tertanam di dalam tanah.

Di kawasan tapak ini juga dipercayai terdapatnya runtuhan bangunan berdasarkan jumpaan sebahagian kecil tembok atau dinding batu yang masih elok semasa kerja-kerja cari gali dijalankan. Selain itu mereka juga menjumpaan beberapa khazanah lain yang tidak ternilai harganya. Untuk keselamatan tempat ini diberi pagar untuk menghindari pengusikan kawasan ini oleh orang yang tidak kompeten.

Istana lama Jugra

Written By Unknown on Wednesday, 3 July 2013 | 01:29


Istana yang bertiangkan batu dan berlantaikan papan dan dinding bahagian tingkat atasnya juga papan telah dibina pada tahun 1876 oleh Sultan Abdul Samad semasa pemerintahan Baginda. Istana ini merupakan sebuah bangunan istana tertua negeri Selangor Darul Ehsan yang masih wujud. Pada tahun 1898, istana ini telah menjadi tempat pertabalan Sultan Selangor ke-V, Sultan Alaeddin Suleiman Syah.

Istana ini merupakan sebuah bangunan dua tingkat. Di tingkat pertama ianya dibina daripada bahan batu sementara tingkat atas dibina daripada kayu dan berbumbungkan atap genting.


Apa yang ada hanya sebuah bilik di tingkat atas, tersimpan di dalamnya sebuah peti besi yang dikatakan kepunyaan Marhum Jugra. Pada suatu ketika, peti besi itu telah dibawa ke Muzium Negara Kuala Lumpur untuk dipamerkan sebagai barang antik tetapi dikatakan pengawal-pengawal tidak senang hati mendengar bunyi-bunyi dari dalam peti itu, yang bila dibuka tanpa isi apa-apa. Sebab itu, peti besi itu terus diletakkan di tempat asalnya dengan aman. Untuk melihat peti itu, seseorang itu terpaksa menaiki tangga istana yang begitu uzur dan seharusnya berhati-hati. Walaupun bangunan ini tidak digunakan lagi, ia masih terpelihara. Kawasan sekitar istana juga sentiasa bersih, kerana ada penduduk kampung yang mengerjakannya dan diam di situ sambil bertanam buah-buahan seperti jambu, durian dan sebagainya.

Bangunan ini kurang menarik minat rakyat jelata untuk berkunjung ke sana, kecuali bagi pelancong atau peminat sejarah yang ingin melihat keadaan yang sebenarnya.


Istana Long Puteri / Maimun


Istana Long Puteri / Istana Maimun merupakan kediaman Raja Long Puteri iaitu cucunda Sultan Abdul Samad. Istana ini terletak berhampiran dengan Istana Jugra.

Daripada aspek senibina bangunan, Istana Long Puteri merupakan sebuah rumah berdindingkan papan, bertiang dan berlantaikan batu. Untuk memasuki istana ini, kita perlu menaiki 14 anak tangga yang dibina daripada bahan batu.

Dari segi ruang dalaman istana ini, terbahagi kepada 3 ruang iaitu bahagian ruang tamu, ruang tengah dan dapur, di mana bahagian dapur telah dipisahkan daripada ruang tengah. Istana ini juga mempunyai 3 bilik dan sebuah bilik tamu.

Namun pada masa kini, ia tidak diselenggarakan dengan baik.



Pejabat Daerah Lama Kuala Langat


Bangunan yang merupakan bekas Pejabat Daerah Kuala Langat terletak di lereng Bukit Jugra dan berhampiran dengan Sungai Langat. Bangunan ini dibina pada tahun 1876 dan dibina daripada batu granit dan mempunyai dua tingkat. Atapnya pula adalah jenis yang sama dengan atap yang digunakan di Istana Jugra.


Bangunan ini merupakan pusat pentadbiran pada zaman pemerintahan Inggeris. Ia juga memberi bukti dan gambaran berhubung dengan sistem pemerintahan Inggeris di Selangor.Pejabat Daerah ini telah digunakan sebagai pusat pentadbiran yang menguruskan hal-hal berkaitan dengan kewangan dan perundangan negeri. Di dalam bangunan ini juga terdapat bank dan mahkamah yang bertujuan untuk mempermudahkan pengurusan.


Bangunan ini perlu di pelihara supaya dapat dijadikan salah satu kawasan yang memperlihatkan kesan dan tinggalan penjajahan Inggeris khususnya di daerah Kuala Langat dan Selangor amnya.


Balai Polis Dan Penjara lama Jugra


Balai Polis atau Rumah Pasung dan Penjara dibina sejak Zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad semasa Jugra berfungsi sebagai pusat pemerintahan Kesultanan Selangor untuk menahan pesalah pada ketika itu. Bangunan ini terletak kira-kira 50 meter daripada pangkalan Batu Hampar. Penjara ini merupakan penjara pertama di Selangor dan dibina pada tahun sekitar 1870-an.


Bangunan ini dapat membuktikan bahwa sejak awal lagi Negeri Selangor telah melaksanakan sistem pemerintahan yang adil dan saksama. Penjara ini dapat membuktikan masyarakat pada zaman tersebut hidup di bawah kerajaan undang-undang. Bagi golongan pemerintah atau Raja dituntut untuk melaksanakan satu sistem keadilan terhadap masyarakat, juga ianya melambangkan sistem perundangan di Jugra. Malah, ia juga dapat membuktikan bahawa satu teknologi baru telah digunakan dalam mendirikan bangunan itu dengan penggunaan batu pejal.


Pada masa sekarang hanya tinggal beberapa bahagian tembok binaan yang masih kukuh dan penjara ini telah dibaik pulih dan dipelihara oleh pihak Lembaga Muzium Selangor.




Stor tempat simpanan peluru Bukit Jugra


Stor Peluru merupakan tempat atau ruang penyimpanan kelengkapan perang khususnya peluru-peluru ataupun alat-alat bedilan. Kedudukannya berhampiran dengan bekas Pejabat Daerah Lama dan Tempat Bakar Kayu Arang (kini tinggal tapak sahaja). Secara keseluruhannya bangunan ini berbentuk ‘Dome’ yang dibina dari bahan simen dan mempunyai sebuah pintu.


Ia juga dilengkapi dengan lubang udara berfungsi untuk peredaran udara didalam ruang simpan peluru tersebut. Dilihat dari segi geografi, tempat ini terletak berhadapan dengan aliran Sungai Langat yang dapat mempermudahkan proses pengangkutan peluru ke kawasan-kawasan yang berhampiran mahupun ke tempat penyimpanan.Ia merupakan satu-satu tempat simpanan peluru yang pertama kali ditemui di daerah Negeri Selangor.

INFO PENTING :
Monumen : Stor Simpanan Peluru
Daerah : Kuala Langat, Selangor
Mukim : Bandar dan Jugra
Tempat : Bukit Jugra
Luas : 2469 meter persegi