Home » , , , » Asal usul Kampung Bandar

Asal usul Kampung Bandar

Written By Kampung Bandar Banting on Sunday, 30 June 2013 | 03:34

Menyelusuri sejarah perkampungan di pinggir sungai ini, ada sesuatu yang sukar disingkirkan dari lipatan sejarah. Tidak ramai yang tahu di manakah letaknya kampung Bandar tersebut. Mungkin ada rakyat negeri Selangor sendiri yang terpinga-terpinga apabila ditanyakan tentang lokasinya. Sayang sekali, bagaikan dilupakan begitu sahaja perkampungan kecil yang amat bersejarah ini.

Bagi mereka yang pecinta sejarah, Kampung Bandar dan Jugra sudah menjadi sebati dalam kehidupan mereka. Ini kerana secara tepatnya nama Kampung Bandar dan Jugra yang berkait rapat dalam sejarah Kesultanan Melayu Selangor ini sememangnya menjadi tumpuan mereka untuk mengkaji kesan-kesan peninggalan sejarah lampau.

Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor ke-5)
Pada awal penubuhannya, Kampung Bandar ini dikenali dengan nama Kampung Bandar Temasya. Kampung ini telah dibuka secara rasminya oleh Almarhum DYMM Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah Ibni Al Marhum Raja Muda Musa (Sultan Selangor ke V) pada tahun 1898. Pembukaan ini adalah disebabkan pusat pentadbiran negeri Selangor di bawah pemerintahan Almarhum Sultan (Sir) Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah (1859-1898) yang sebelumnya berada di Jugra telah berpindah ke kampung ini dizaman pemerintahan baginda.

Oleh kerana pada ketika itu semua tanah dimiliki dan ditadbir oleh Raja, maka sejak itulah tanah-tanah dikampung ini dikenali dan dinamakan sebagai Tanah Raja. DYMM Sultan dengan sifat pemurahnya ketika itu telah memberikan rakyat jelata tanah untuk dijadikan penempatan dan pertanian tanpa mengenakan sebarang cukai.

Istana Bandar yang masih tersergam indah selepas beberapa siri pengubahsuaian
Dari segi Pentadbiran ketika itu ia dijalankan sendiri oleh DYMM Sultan dan kuasa diturunkan kepada ketua-ketua kampung yang dilantik bagi tujuan membawa segala masalah rakyat ke pengetahuan baginda DYMM Sultan.

Pekerjaan utama penduduk ketika itu adalah kebanyakannya bertani, nelayan, menternak binatang serta menjadi dayang-dayang ataupun berkerja di Istana Bandar Temasya. Aktiviti kebudayaan yang menjadi kegiatan sinonim dalam masyarakat melayu beraja pula pada kebiasaanya dipersembahkan dan berpusat di Istana Bandar Temasya.

Pengangkutan utama yang digunakan ketika itu adalah seperti basikal bagi gologan mereka yang agak berada. Selain itu sampan dan tongkang juga menjadi nadi pengerak masyarakat kampung untuk menyeberangi dan menyelusuri Sungai Langat. Selebihnya penduduk kampung lebih senang untuk berjalan kaki sahaja memandangkan ketika itu jalan-jalan kampung kebanyakkannya merupakan lorong-lorong kecil dan sempit yang melalui kawasan hutan dan juga kebun-kebun penduduk.

Masjid Sultan Ala'eddin yang masih digunakan sehingga kini
Pada dizaman kemahsyuran Kampung Bandar Temasya ini, beberapa bangunan telah didirikan diantaranya, Sekolah Melayu Dandan Bakly, Istana Ala’eddin dan juga masjid Sultan Ala’eddin. Walaubagaimanapun hanya Masjid Sultan Ala’eddin sahaja yang masih digunakan sehingga kini. Sebaliknya Istana Ala’eddin sudah beberapa kali telah dilakukan proses pengubahsuaian dan dalam perancangannya bakal menjadi muzium yang menempatkan sejarah-sejarah setempat pada tahun 2014 nanti dibawah penyeliaan “Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) . Manakala Sekolah Melayu Dandan Bakly hanya tinggal sejarah sahaja setelah didirikan Sekolah Bandar di kawasan tapak lain yang lebih selesa.

Seperti yang kita ketahui, hubungan Tanah Melayu dengan Pulau Jawa telah bermula sejak kurun 14 lagi. Jadi tidak hairanlah sejak dulu lagi penghijrahan bangsa keturunan jawa ke Tanah Melayu ini telah bermula. Menurut dari sumber lisan, Orang-orang Jawa ini adalah pembuka-pembuka penempatan baru di Kampung Bandar dan sekelilingnya. Meraka dikerah untuk menebas hutan, menebang balak dan sebagainya. Menurut kata sumber lagi, orang-orang jawa ini ada yang berhijrah dengan kemahuan sendiri atas dasar ingin mmemperbaiki taraf kehidupan mereka. Malah ada juga yang diculik oleh sindiket perdagangan manusia yang menyediakan bekalan buruh. Oleh sebab itu pada awal pembukaan Kampung Bandar ini lagi penduduk disini sudah hidup bersama antara bangsa Melayu Dan Bangsa Jawa.

Jugra dan Kampung Bandar, dua tempat bersejarah yang sukar dilupakan
Kampung Bandar ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Ini kerana disamping menjadi pusat pentadbiran Negeri Selangor dan bergelar Tanah Raja pada ketika itu, ia juga merupakan kampung yang didirikan diatas gabungan 6 buah kampung pada asalnya.

6 kampung tersebut ialah :-
  • Kampung Bandar (sebelah Utara)
  • Kampung Teluk Pulai (Sebelah Timur Laut)
  • Kampung Kurau (Tengah mengunjur ke tenggara)
  • Kampung Sungai Ingat & Chodoi (Tengah mengunjur ke barat daya)
  • Kampung Air Tawar (Sebelah Barat Laut)
  • Kampung Kampung Sawah (Sebelah timur Kampung Teluk Pulai)

Walaubagaimanapun menurut sumber lisan, Kampung Sawah telah pun mentadbir kampungnya secara bersendirian bermula sekitar pada penghujung tahun 70an.

# Anda boleh juga sesi temuramah versi video kisah sejarah yang terdapat di kampung Bandar. KLIK DISINI untuk menonton

Share this article :

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. salam sejahtera, adakah blog ini masih aktif?

    ReplyDelete