At Blog to fb At Blog to fb At Blog to fb

ARTIKEL TERKINI

Keberangkatan Sultan Selangor ke Makam DiRaja Kampung Bandar 2013

Written By Unknown on Sunday 30 June 2013 | 12:52


Setiap tahun sudah pasti menjadi kewajipan bagi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj untuk menziarahi makam DiRaja Jugra dan Bandar sebelum menjelangnya bulan Ramadhan. Keberangkatan baginda kali ini adalah sebagai acara tidak rasmi dan turut disertai oleh beberapa barisan kepimpinan daerah Kuala Langat yang diadakan pada 15 Jun 2013 (Sabtu).


Seperti Almarhum Ayahandanya juga, baginda akan menyertai majlis bacaan tahlil arwah khasnya untuk ahli keluarga nenek moyang diRaja Baginda. Program lawatan baginda bermula di Makam Bukit Jugra bagi menziarahi Makam Sultan Abdul Samad. Kemudiannya baginda menghadirkan diri pula ke Makam Kampung Bandar dimana disinilah terletak Makam bonda Almarhum Sultan Hishamudin, Allahyarhamah Cik Hasnah Bt. Pilong.



Selepas selesai majlis bacaan tahlil, Baginda meluangkan masa untuk beramah mesra dengan penduduk kampung Bandar yang hadir. Alhamdulillah, Sultan yang berjiwa rakyat sebeginilah yang menjadi kesayangan rakyat jelata. Semoga Allah memanjangkan usia Tuanku. Amin.





















Pertanyaan atau cadangan (maklum balas)



Terima kasih kerana sudi melayari Laman rasmi Kampung Bandar Nan Indah Bersejarah. Jika anda mempunyai sebarang aduan, komen atau cadangan, sila isikan borang maklum balas mengenai laman dibawah ini. 

Sekiranya anda ingin berkongsi artikel, berita dan pengetahuan sejarah mengenai kampung bandar, sila ke ruangan Sumbangan Artikel atau KLIK DISINI untuk mengetahui terma dan syarat-syarat. Terima kasih diatas kerjasama anda.

Nama Anda:
Alamat Email Anda:
Website Anda:
No. Telefon:
Adakah Anda Penduduk Sekitar Kampung Bandar: Ya
Sekitar Selangor
Luar Selangor
Pertanyaan dan Pendapat Anda:

This online form was provided by Freedback.

Sejarah Kampung Bandar - Versi Video

Disini kami sediakan pula dua buah video yang telah berjaya dihasilkan dan dimuat turun di laman You Tube oleh saudara Faizal Kasmani berkenaan sejarah kampung Bandar untuk tontonan anda.Sekiranya anda masih belum membaca penulisan mengenai sejarah Kampung Bandar, Sila KLIK DISINI untuk membacanya.


Kampung Bandar Temasya (Bahagian 1)


Kampung Bandar Temasya (Bahagian 2)



Asal usul Kampung Bandar

Menyelusuri sejarah perkampungan di pinggir sungai ini, ada sesuatu yang sukar disingkirkan dari lipatan sejarah. Tidak ramai yang tahu di manakah letaknya kampung Bandar tersebut. Mungkin ada rakyat negeri Selangor sendiri yang terpinga-terpinga apabila ditanyakan tentang lokasinya. Sayang sekali, bagaikan dilupakan begitu sahaja perkampungan kecil yang amat bersejarah ini.

Bagi mereka yang pecinta sejarah, Kampung Bandar dan Jugra sudah menjadi sebati dalam kehidupan mereka. Ini kerana secara tepatnya nama Kampung Bandar dan Jugra yang berkait rapat dalam sejarah Kesultanan Melayu Selangor ini sememangnya menjadi tumpuan mereka untuk mengkaji kesan-kesan peninggalan sejarah lampau.

Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor ke-5)
Pada awal penubuhannya, Kampung Bandar ini dikenali dengan nama Kampung Bandar Temasya. Kampung ini telah dibuka secara rasminya oleh Almarhum DYMM Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah Ibni Al Marhum Raja Muda Musa (Sultan Selangor ke V) pada tahun 1898. Pembukaan ini adalah disebabkan pusat pentadbiran negeri Selangor di bawah pemerintahan Almarhum Sultan (Sir) Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah (1859-1898) yang sebelumnya berada di Jugra telah berpindah ke kampung ini dizaman pemerintahan baginda.

Oleh kerana pada ketika itu semua tanah dimiliki dan ditadbir oleh Raja, maka sejak itulah tanah-tanah dikampung ini dikenali dan dinamakan sebagai Tanah Raja. DYMM Sultan dengan sifat pemurahnya ketika itu telah memberikan rakyat jelata tanah untuk dijadikan penempatan dan pertanian tanpa mengenakan sebarang cukai.

Istana Bandar yang masih tersergam indah selepas beberapa siri pengubahsuaian
Dari segi Pentadbiran ketika itu ia dijalankan sendiri oleh DYMM Sultan dan kuasa diturunkan kepada ketua-ketua kampung yang dilantik bagi tujuan membawa segala masalah rakyat ke pengetahuan baginda DYMM Sultan.

Pekerjaan utama penduduk ketika itu adalah kebanyakannya bertani, nelayan, menternak binatang serta menjadi dayang-dayang ataupun berkerja di Istana Bandar Temasya. Aktiviti kebudayaan yang menjadi kegiatan sinonim dalam masyarakat melayu beraja pula pada kebiasaanya dipersembahkan dan berpusat di Istana Bandar Temasya.

Pengangkutan utama yang digunakan ketika itu adalah seperti basikal bagi gologan mereka yang agak berada. Selain itu sampan dan tongkang juga menjadi nadi pengerak masyarakat kampung untuk menyeberangi dan menyelusuri Sungai Langat. Selebihnya penduduk kampung lebih senang untuk berjalan kaki sahaja memandangkan ketika itu jalan-jalan kampung kebanyakkannya merupakan lorong-lorong kecil dan sempit yang melalui kawasan hutan dan juga kebun-kebun penduduk.

Masjid Sultan Ala'eddin yang masih digunakan sehingga kini
Pada dizaman kemahsyuran Kampung Bandar Temasya ini, beberapa bangunan telah didirikan diantaranya, Sekolah Melayu Dandan Bakly, Istana Ala’eddin dan juga masjid Sultan Ala’eddin. Walaubagaimanapun hanya Masjid Sultan Ala’eddin sahaja yang masih digunakan sehingga kini. Sebaliknya Istana Ala’eddin sudah beberapa kali telah dilakukan proses pengubahsuaian dan dalam perancangannya bakal menjadi muzium yang menempatkan sejarah-sejarah setempat pada tahun 2014 nanti dibawah penyeliaan “Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) . Manakala Sekolah Melayu Dandan Bakly hanya tinggal sejarah sahaja setelah didirikan Sekolah Bandar di kawasan tapak lain yang lebih selesa.

Seperti yang kita ketahui, hubungan Tanah Melayu dengan Pulau Jawa telah bermula sejak kurun 14 lagi. Jadi tidak hairanlah sejak dulu lagi penghijrahan bangsa keturunan jawa ke Tanah Melayu ini telah bermula. Menurut dari sumber lisan, Orang-orang Jawa ini adalah pembuka-pembuka penempatan baru di Kampung Bandar dan sekelilingnya. Meraka dikerah untuk menebas hutan, menebang balak dan sebagainya. Menurut kata sumber lagi, orang-orang jawa ini ada yang berhijrah dengan kemahuan sendiri atas dasar ingin mmemperbaiki taraf kehidupan mereka. Malah ada juga yang diculik oleh sindiket perdagangan manusia yang menyediakan bekalan buruh. Oleh sebab itu pada awal pembukaan Kampung Bandar ini lagi penduduk disini sudah hidup bersama antara bangsa Melayu Dan Bangsa Jawa.

Jugra dan Kampung Bandar, dua tempat bersejarah yang sukar dilupakan
Kampung Bandar ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Ini kerana disamping menjadi pusat pentadbiran Negeri Selangor dan bergelar Tanah Raja pada ketika itu, ia juga merupakan kampung yang didirikan diatas gabungan 6 buah kampung pada asalnya.

6 kampung tersebut ialah :-
  • Kampung Bandar (sebelah Utara)
  • Kampung Teluk Pulai (Sebelah Timur Laut)
  • Kampung Kurau (Tengah mengunjur ke tenggara)
  • Kampung Sungai Ingat & Chodoi (Tengah mengunjur ke barat daya)
  • Kampung Air Tawar (Sebelah Barat Laut)
  • Kampung Kampung Sawah (Sebelah timur Kampung Teluk Pulai)

Walaubagaimanapun menurut sumber lisan, Kampung Sawah telah pun mentadbir kampungnya secara bersendirian bermula sekitar pada penghujung tahun 70an.

# Anda boleh juga sesi temuramah versi video kisah sejarah yang terdapat di kampung Bandar. KLIK DISINI untuk menonton

Kata-kata pembuka bicara Pengerusi JKKK Kg. Bandar

Written By Unknown on Thursday 27 June 2013 | 14:32

Assalamualaikum W.B dan selamat sejahtera.

Selamat datang kepada pengunjung laman blog rasmi Kampung Bandar, Banting atau nama komersialnya D’Bandar Village Nan Indah Bersejarah. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua warga kerja blog atas usaha, dorongan dan komitmen semua di atas kewujudan dan pelancaran blog rasmi Kampung Bandar buat julung kalinya ini. Dalam semangat kerjasama untuk menaikkan nama Kampung Bandar ini, peranan yang dimainkan oleh semua pihak yang terlibat dalam penerbitan blog ini adalah amat dihargai. Adalah diharapkan laman blog ini dapat dijadikan sebagai rujukan penduduk kampung serta semua pengunjung tidak kira dimana jua anda berada dan dapat  di layari semudah mungkin.

Penghasilan laman Blog yang menarik dan dikemaskinikan secara berterusan, saya pasti akan dapat memupuk kefahaman, keyakinan dan kepercayaan masyarakat kita terhadap ICT serta membolehkan segala perkembangan negeri dan kampung dapat diikuti oleh segenap masyarakat. Tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman parti politik saya mengharapkan masyarakat kampung dapat bersama-sama bekerjasama untuk menaikkan nama Kampung Bandar ini dimata dunia untuk memberi sumber maklumat terkini dalam penghasilan blog rasmi ini.

Seperti yang kita ketahui pengetahuan asas pengunjung luar terhadap latar belakang Kampung Bandar sebelum ini amatlah terhad. Ini disebabkan kurangnya maklumat didunia cyber berkenaan kampung kita yang kaya dengan warisan sejarah melayu yang terbilang ini. Bagi mereka yang mencintai sejarah Negeri Selangor, mereka terpaksa mengorbankan banyak masa dalam mencari maklumat lengkap dalam  mengkaji serta memahami kisah sejarah yang sebenar.

Hasil pencarian di alam cyber ini, hanya segelintir sahaja pemilik-pemilik blog peribadi yang mengongsikan maklumat monumen sejarah khususnya yang terdapat di Kampung Bandar dan Jugra secara keseluruhannya. Ia adalah satu kerugian besar bagi masyarakat kita dalam menyahut seruan kerajaan bagi memupuk semangat cintakan sejarah tanahair kerana apa yang diperolehi oleh generasi terkemudian hanyalah sekadar maklumat asas sejarah tanpa ada penghayatan yang sebenar. Maka dengan munculnya blog rasmi ini, saya berharap warga kerja blog dapat menghasilkan maklumat yang lengkap dan benar mengenai kegiatan serta kisah monumen sejarah yang ada di kampung ini bagi memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat dengat tepat dan berkesan.

Seperti kata pepatah, “kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Ini membawa maksud tanpa usaha yang bersungguh-sungguh, serta yakin dengan kebolehan yang ada, maka impian untuk menonjolkan nama Kampung Bandar ini di persada antarabangsa hanya sekadar omongan kosong sahaja. Maka setelah terhasilnya blog rasmi ini, saya menyeru agar warga kerja blog untuk terus sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam menyalurkan maklumat dan berita terkini kepada penduduk serta pengunjung laman blog rasmi Kampung Bandar ini.

Akhir kata, saya mengharapkan segala maklumat yang disalurkan dalam laman blog rasmi ini akan dapat memberi manfaat kepada semua penduduk kampung serta pengunjung dunia cyber. Sekiranya Ada penduduk kampung yang ingin berkongsi maklumat atau karya pengetahuan sejarah, sudilah sekiranya mereka untuk menghubungi JKKK Kampung Bandar ataupun menghantar maklumat serta gambar artikel berkenaan yang ingin dikongsikan ke email kampungbandarbanting@gmail.com untuk dimuat turun kedalam blog rasmi ini oleh warga kerja blog. Maka dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan ini secara rasminya saya melancarkan blog rasmi “D’Bandar Village Nan Indah Bersejarah” untuk tatapan bersama.

Sekian, Assalamualaikum.W.B.

Tuan Hj. Abdul Razak B. Jaafar
Pengerusi JKKK Merangkap ketua kampung, Kampung Bandar.
42700, Banting, Kuala Langat,
Selangor Darul Ehsan.





Peta Halaman

Written By Unknown on Tuesday 25 June 2013 | 15:35