At Blog to fb At Blog to fb At Blog to fb

ARTIKEL TERKINI

Showing posts with label Info Kampung. Show all posts
Showing posts with label Info Kampung. Show all posts

Geografi, kegiatan penduduk Kampung Bandar

Written By Unknown on Sunday, 25 August 2013 | 18:16


Mungkin masih ramai lagi yang masih tidak mengetahui geografi, lokasi serta sejarah latar belakang Kampung Bandar. Artikel seterusnya ini sedikit sebanyak akan memberi anda maklumat mengenai keadaan bentuk muka bumi,  kegiatan harian penduduk serta masyarakat berbilang kaum. Jika anda ingin mengetahui lokasi Kampung Bandar sila KLIK SINI dan jika ingin mengetahui sejarah latar belakang Kampung Bandar sila KLIK SINI .

SEKILAS PANDANG

Nama : Kampung Bandar
Mukim : Bandar Dan Jugra
Daerah : Kuala Langat
Negeri : Selangor
Ketua Kampung JKKK   : Tuan Haji Abdul Razak B. Haji Jaafar
Ketua Kampung JKKKP : Tuan Haji Mokhtar B. Dikun
Parlimen : YB Abdullah Sani B. Abdul Hamid ( P112 - Kuala Langat)
DUN : YB Tuan Haji Hasnl B. Baharuddin (N53 - Morib)


KEADAAN MUKA BUMI

Alhamdulillah bumi Kampung Bandar ini dikurniakan tanah yang subur serta jarang berlaku bencana alam yang menimpa penduduk. Tanah berkategori tanah liat sememangnya sesuai untuk bercucuk tanam. Jika kita kaji semasa zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad, sawah padi juga pernah wujud dikawasan kampung Bandar ini. Walaubagaimanapun sawah padi berkenaan hanya diusahakan dikawasan tertentu pada waktu zaman dahulu sahaja. Kawasan lain kebanyakkannya  lebih kepada tanaman kontan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.


Sebahagian persempadanan Kampung Bandar iaitu dibahagian utara dan barat adalah dikelilingi dengan sungai Langat. Jadi disebabkan kedudukan Kampung Bandar ini di sekitar muara sungailah ia menjadi antara sebab mengapa kampung ini menjadi pusat pemerintahan negeri Selangor di bawah pemerintahan Sultan Ala'eddin Suleiman Shah.

Keadaan muka bumi yang rata menjadikan ia masih dikategorikan selamat dari bencana alam seperti banjir besar. Pernah juga banjir melanda di beberapa kawasan dalam kampung, tetapi ia tidaklah pula ditahap kritikal. Ketika ini, setiap setahun sekali kerja-kerja mendalamkan parit-parit utama akan dilakukan bagi melancarkan perjalanan air mengalir ke kawasan sungai.


Sekitar tahun selepas merdeka, penduduk-penduduk disini masih meneruskan tradisi bercucuk tanam dengan tanaman kontan dikebun-kebun mereka. Ada yang sudah mula menanam pokok kopi, koko, kelapa serta pokok buah-buahan. Selepas tahun 1990, sedikit demi sedikit pokok-pokok kopi dan koko telah ditukar kepada tanaman pokok sawit. Kini hampir 90% tanah-tanah dikampung ini telah dipenuhi dengan tanaman sawit. Selebihnya tanaman kontan seperti pisang, serai , tanah rizab serta ternakan.


MASYARAKAT

Mengikut data yang dikeluarkan oleh JKKK pada tahun 2010, Kampung Bandar ini hanya dihuni oleh dua bangsa sahaja iaitu bangsa Melayu dan Cina. Jumlah keseluruhan penduduk Kampung pula ialah sekitar 2500 orang  dimana 95% dari jumlah tersebut adalah bangsa Melayu. Kebanyakkan penduduk yang berbangsa Cina ini tinggal di pekan kecil iaitu Pekan Chodoi.


Sila lihat carta dibawah berkenaan data-data penduduk di Kampung Bandar.

DATA MENGIKUT BANGSA
BANGSA
LELAKI
WANITA
JUMLAH
MELAYU
1086
1214 2300
CINA
64
86 150
INDIA
TIADA
TIADA TIADA
LAIN-LAIN
TIADA
TIADA TIADA

DATA MENGIKUT UMUR
UMUR
LELAKI
WANITA
JUMLAH
60 TAHUN KE ATAS
130
120 250
59 - 40 TAHUN
248
252 500
39 - 18 TAHUN
295
325 620
17 - 13 TAHUN
151
197 348
12 - 6 TAHUN
183
218 401
5 - 0 TAHUN
143
188 331


PEKERJAAN

Dari segi pekerjaan pula penduduk di Kampung Bandar ini melkukan berbagai-bagai pekerjaan mengikut taraf pendidikan, keinginan serta warisan keluarga. Majoritinya penduduk lebih cenderung untuk bekerja di sektor swasta terutamanya bahagian industri (kilang). Kedudukan kampung yang strategik untuk menuju ke tempat kerja di kawasan perindustrian samaada ke pekan Banting, Teluk Panglima Garang, Klang, Shah Alam dan Pelabuhan Klang menjadikan ia pilihan utama untuk mencari rezeki. Selain itu ada juga yang bekerja di sektor kerajaan, bekerja sendiri, pekebun, penternak dan juga nelayan. Berikut adalah data anggaran penduduk kampung mengikut sektor pekerjaan.

DATA MENGIKUT SEKTOR PEKERJAAN
SEKTOR
LELAKI
WANITA
JUMLAH
KERAJAAN
100
30 130
SWASTA
230
120 350
SENDIRI
60
15 75
PENTERNAK
7
- 7
NELAYAN
20
- 20
PENGANGGUR
40
30 70
LAIN-LAIN
-
- -


POLITIK

Seperti yang sedia maklum pada bulan May tahun 2013 ini telah pun dilangsungkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Secara rawaknya pandangan politik penduduk-penduduk kampung disini masih seimbang bergantung isu-isu semasa yang berlaku. Walaupun secara umumnya ramai penduduk-penduduk kampung disini lebih cenderung kepada Kerajaan Pusat iaitu Parti Komponen Barisan Nasional, tetapi sokongan terhadap Parti Pakatan Rakyat tetap juga mendapat sambutan. Ia hanyalah sekadar pandangan dan sokongan individu. Bertelagah sewaktu pilihanraya itu adat, tetapi mereka pasti akan beransur-ansur tenang dan keadaan menjadi pulih seperti biasa selepas berlangsungnya pilihanraya.


Dua jawatan Ketua Kampung yang wujud di semua kawasan di Negeri Selangor ini sebenarnya adalah sesuatu yang membawa kebaikan daripada keburukkan. Jawatan ketua kampung bagi pihak JKKK (wakil kerajaan negeri) dan JKKKP (wakil kerajaan pusat) bermula sejak 2008 apabila parti Pakatan Rakyat berjaya menakluki Negeri Selangor pada PRU 12 lalu. Jika ketua kampung serta AJKnya dari kedua-dua belah pihak bijak menggunakan kuasa yang ada, tanpa memilih bulu dan salah guna kuasa, sudah pasti kampung berkenaan akan bertambah maju. Mengapa? JKKK sudah pastinya akan mendapat dana dari Kerajaan Negeri yang diterajui Pakatan Rakyat. Sementara JKKKP pula mendapat dana mereka dari Kerajaan Pusat. Jadi sekiranya kedua2 pihak berjaya memohon seberapa banyak dana yang boleh, sudah pasti dana itu dapat digunakan untuk membangunkan kampung, membantu penduduk serta memperbanyakkan aktiviti-aktiviti sampingan. Sudah pasti penduduk juga yang untung. Mudah-mudahan semua kampung dapat merasai kekayaan hasil bumi Malaysia.

Berikut adalah data Pilihan Raya Umum bagi Unit Peti Undi di Kampung Bandar (Sek. Keb. bandar) bagi Pilihan Raya Umum ke-13 May 2013.


PARLIMEN P112 KUALA LANGAT
SALURAN
BN
BEBAS
PKR
UNDI ROSAK
MAJORITI
SALURAN 1
175
0 122
14
53
SALURAN 2
343
1 239
1
104
SALURAN 3
343
0 211
11
132
JUMLAH
861
1 572
26
289

DUN N53 MORIB
SALURAN
PAS
BN
UNDI ROSAK
MAJORITI
SALURAN 1
132
176
3
44
SALURAN 2
255
329
1
74
SALURAN 3
223
339
3
116
JUMLAH
610
844
7
234



Tegarfishing Club

Written By Unknown on Sunday, 14 July 2013 | 18:39


Tegarfishing Club adalah sebuah kelab yang berasaskan rekreasi dan memancing. Kebanyakkannya ahli-ahli mereka tergolong dari mereka yang bergelar kaki pancing. Hampir 30 orang ahli telah berjaya dikumpulkan kelab ini. Program utama kelab inisudah tentu sering mengadakan trip memancing di lautan dalam. Sekiranya anda berminat dan ingin menyertai Tegarfishing Club ini, sila lawati laman berikut :

TEGARFISHING CLUB
NO.3 Kedai Pembangunan Luar Bandar,
Jalan Klinik, Kampung Bandar,
42700 Banting, Kuala Langat,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia

Email : tegarfishing@gmail.com
No. Telefon : 6019-6633448
Website : http://tegarfishing.blogspot.com

Dabus Kampung Bandar


Dabus adalah kesenian yang mempertunjukkan kemampuan manusia luar biasa, seperti kebal terhadap senjata tajam, api, atau minum air keras dan lain-lain. Menurut catatan sejarah, dabus ini sebenarnya ada hubungan dengan tarikat Rifaiah yang dibawa oleh Nurrudin ar-Raniry ke Aceh pada tahun 1637 M. Dabus ini pada awalnya bukanlah sebuah tarian, melainkan salah satu jenis seni bela diri. Oleh karena itu, tarian ini dikenal juga dengan tarian kepahlawanan, karena memperlihatkan “keluarbiasaan” dalam pertunjukannya. Tarian ini hingga sekarang masih berkembang di daerah yang berkebudayaan Melayu.


Di Kampung Bandar sememangnya tarian Dabus ini sudah menjadi tarian tradisi. Bermula sejak zaman pemerintahan Sultan Alaeddin Suleiman Shah sehingga kini, ia masih lagi dimainkan dan dipersembahkan. Dikampung Bandar kumpulan pemain Dabus ini lebih mesra dikenali dengan Dabus Pak Ayob. Bertempat di Kampung Teluk Pulai, warisan ini masih terus dikekalkan. Ketika ini, anak-anak muda sudah ramai yang mula berjinak-jinak dengan Dabus ini. Sekiranya ada sesiapa yang berminat untuk mempelajari Dabus ini bolehlah menghubungiL:

Lot 31, Kampung Bandar Temasya,
Jalan Telok Pulai ,
Banting Selangor
Nombor hp :  : 0176670575




Peta Lokasi Kampung Bandar

Kampung Bandar terletak lebih kurang 13 kilometer atau 8 batu dari pekan Banting. 8 Kilometer dari pekan Teluk Panglima Garang. Terdapat Banyak laluan yang boleh dilalui untuk tiba diKampung Bandar ini.

DARI BANTING

Sekiranya anda dari pekan Banting, anda teruskan perjalanan anda menghala ke tempat bersejarah Jugra dan Bandar. Melalui Jalan Sultan Abdul Samad ini, anda boleh membuat pilihan samaada ingin melalui Kampung Sungai Buaya atau, Jalan pintas melalui Jalan Sultan Suleiman Shah (Jalan Ubi) ataupun Jalan melalui Jugra dan Permatang Pasir. (Sila rujuk gambar dan peta yang dilampirkan)



DARI KLANG



Selepas melalui pekan Telok Panglima Garang, anda akan berjumpa bulatan di persimpangan Banting- Pulau Carey. Anda belok menghala ke Pulau Carey. Selepas itu anda pastikan menuju ke Kampung Sawah, Sungai Buaya, Kampung Bandar dan bukannya ke Pulau Carey. (Sila Rujuk Gambar dan Peta yang dilampirkan) - (KLIK DISINI untuk membaca mengenai jambatan Kampung Sawah)

PETA LOKASI (Wikimapia MAPS)
GOOGLE MAPS

Lihat Peta yang Lebih Besar

Senarai ketua Kampung Bandar yang pernah berkhidmat

Written By Unknown on Tuesday, 2 July 2013 | 21:39

Semenjak Kampung Bandar dibuka secara rasmi oleh DYMM Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah Ibni Al Marhum Raja Muda Musa (Sultan Selangor ke V) pada tahun 1898, Baginda telah melantik ketua-ketua kampung bagi melicinkan urusan pentadbitranya. Dengan cara sedemikian, maka segala masalah rakyat akan  dapat terus sampai ke pengetahuan Baginda tanpa ada banyak halangan dan rintangan.

Oleh sebab itu, Baginda Sultan amatlah disenangi oleh rakyat diatas keperihatinannya mengenai masalah rakyat berpandukan maklumat yang diperolehi dari ketua kampung. Sesungguhnya tanggungjawab seorang ketua kampung amatlah berat. Bukan sahaja menjaga dari segi kebajikan, malahan menjana dan memakmurkan ekonomi serta keselamatan penduduk adalah amanah yang perlu digalas dengan baik.

Berikut adalah senarai nama ketua-ketua kampung yang pernah berkhidmat di kampung Bandar semenjak bermulanya diperkenalkan jawatan tersebut.

  1. Tuan Haji Ismail bin Abdul Rahim
  2. Encik Yahya bin Omar (Lantikan DYMM)
  3. YM Raja Adnan bin Raja Alang (Sultan)
  4. Tuan Haji Mohd Zain bin Bahaman
  5. Tuan Haji Nokman bin Haji Jaafar (Lantikan MB)
  6. Tuan Haji Mokhtar bin Tekun (JKKK - Sebelum 2008/JKKKP - 2008 hingga Sekarang)
  7. Tuan Haji Abdul Razak Bin Haji Jaafar (JKKK 2008 hingga Sekarang)

Lagu Kampung Bandar

Tidak semua organisasi pentadbiran kampung yang mampu untuk mencipta lagu kampung mereka tersendiri. Di Kampung Bandar, dengan adanya penduduk-penduduk yang mempunyai minat untuk berkarya dan bermain muzik, maka terciptalah juga lagu rasmi Kampung Bandar.

Dua oarang watak penting dalam pembikinan lagu serta lirik lagu tersebut. Disini kami bagi pihak penduduk kampung mengucapkan tahniah dan terima kasih diatas pengorbanan mereka berdua dalam menaikkan nama Kampung Bandar.


Tajuk :   "Bandar Kampungku"


Bandar Temasya maju jaya
Nama terbilang Suatu ketika
Jadi warisan lagenda warga desa
Kampung Bandar yang bersejarah

Subur menghijau sentiasa
Teguh gemilang bekerjasama
Kemajuan dinikmati selamanya
Harum nama desa bertuah

C/O

Masyarakat bersatu hati
Berdaya maju berwibawa
Dengan semangat berdikari
Tingkatkan taraf ekonomi

Desa ini tempat lahirku
Di desa ini kami bersatu
Bertekad mendukung satu wawasan
Berjaya BANDAR KAMPUNGKU.


Lirik Oleh : Zakaria Md Wali
Lagu Oleh : ZinZaki Haji Ishak



Logo rasmi dan Motto Kampung Bandar

Tidak kira apa sahaja yang membabitkan organisasi pastinya akan mempunyai logo dan moto tersendiri. Ini bagi membuktikan bahawa organisasi terbabit mempunyai wawasan untuk lebih maju kehadapan disamping menjaga keharmonian masyarakat yang berbilang kaum. Maka dengan harapan agar segala impian tercapai, maka terciptalah logo Kampung Bandar ini.

Logo ini telah direkacipta dari kalangan anak tempatan sendiri iaitu En. Safawi B. Marsaini. Terima kasih diucapkan diatas jasa beliau dalam mencipta logo yang kini menjadi kebanggaan penduduk Kampung Bandar.

Maksud Logo Kampung Bandar


  • BIRU : Perpaduan Warga Kampung Bandar
  • MERAH : Keberanian Warga 5 kampung
  • PUTIH : Kesucian Agama Islam
  • KUNING dan KERIS : Kedaulatan DiRaja dan sejarah Kampung Bandar

MOTTO Kampung Bandar

"HARMONI TERAS KECEMERLANGAN"


Sejarah Kampung Bandar - Versi Video

Written By Unknown on Sunday, 30 June 2013 | 04:08

Disini kami sediakan pula dua buah video yang telah berjaya dihasilkan dan dimuat turun di laman You Tube oleh saudara Faizal Kasmani berkenaan sejarah kampung Bandar untuk tontonan anda.Sekiranya anda masih belum membaca penulisan mengenai sejarah Kampung Bandar, Sila KLIK DISINI untuk membacanya.


Kampung Bandar Temasya (Bahagian 1)


Kampung Bandar Temasya (Bahagian 2)



Asal usul Kampung Bandar

Menyelusuri sejarah perkampungan di pinggir sungai ini, ada sesuatu yang sukar disingkirkan dari lipatan sejarah. Tidak ramai yang tahu di manakah letaknya kampung Bandar tersebut. Mungkin ada rakyat negeri Selangor sendiri yang terpinga-terpinga apabila ditanyakan tentang lokasinya. Sayang sekali, bagaikan dilupakan begitu sahaja perkampungan kecil yang amat bersejarah ini.

Bagi mereka yang pecinta sejarah, Kampung Bandar dan Jugra sudah menjadi sebati dalam kehidupan mereka. Ini kerana secara tepatnya nama Kampung Bandar dan Jugra yang berkait rapat dalam sejarah Kesultanan Melayu Selangor ini sememangnya menjadi tumpuan mereka untuk mengkaji kesan-kesan peninggalan sejarah lampau.

Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor ke-5)
Pada awal penubuhannya, Kampung Bandar ini dikenali dengan nama Kampung Bandar Temasya. Kampung ini telah dibuka secara rasminya oleh Almarhum DYMM Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah Ibni Al Marhum Raja Muda Musa (Sultan Selangor ke V) pada tahun 1898. Pembukaan ini adalah disebabkan pusat pentadbiran negeri Selangor di bawah pemerintahan Almarhum Sultan (Sir) Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah (1859-1898) yang sebelumnya berada di Jugra telah berpindah ke kampung ini dizaman pemerintahan baginda.

Oleh kerana pada ketika itu semua tanah dimiliki dan ditadbir oleh Raja, maka sejak itulah tanah-tanah dikampung ini dikenali dan dinamakan sebagai Tanah Raja. DYMM Sultan dengan sifat pemurahnya ketika itu telah memberikan rakyat jelata tanah untuk dijadikan penempatan dan pertanian tanpa mengenakan sebarang cukai.

Istana Bandar yang masih tersergam indah selepas beberapa siri pengubahsuaian
Dari segi Pentadbiran ketika itu ia dijalankan sendiri oleh DYMM Sultan dan kuasa diturunkan kepada ketua-ketua kampung yang dilantik bagi tujuan membawa segala masalah rakyat ke pengetahuan baginda DYMM Sultan.

Pekerjaan utama penduduk ketika itu adalah kebanyakannya bertani, nelayan, menternak binatang serta menjadi dayang-dayang ataupun berkerja di Istana Bandar Temasya. Aktiviti kebudayaan yang menjadi kegiatan sinonim dalam masyarakat melayu beraja pula pada kebiasaanya dipersembahkan dan berpusat di Istana Bandar Temasya.

Pengangkutan utama yang digunakan ketika itu adalah seperti basikal bagi gologan mereka yang agak berada. Selain itu sampan dan tongkang juga menjadi nadi pengerak masyarakat kampung untuk menyeberangi dan menyelusuri Sungai Langat. Selebihnya penduduk kampung lebih senang untuk berjalan kaki sahaja memandangkan ketika itu jalan-jalan kampung kebanyakkannya merupakan lorong-lorong kecil dan sempit yang melalui kawasan hutan dan juga kebun-kebun penduduk.

Masjid Sultan Ala'eddin yang masih digunakan sehingga kini
Pada dizaman kemahsyuran Kampung Bandar Temasya ini, beberapa bangunan telah didirikan diantaranya, Sekolah Melayu Dandan Bakly, Istana Ala’eddin dan juga masjid Sultan Ala’eddin. Walaubagaimanapun hanya Masjid Sultan Ala’eddin sahaja yang masih digunakan sehingga kini. Sebaliknya Istana Ala’eddin sudah beberapa kali telah dilakukan proses pengubahsuaian dan dalam perancangannya bakal menjadi muzium yang menempatkan sejarah-sejarah setempat pada tahun 2014 nanti dibawah penyeliaan “Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) . Manakala Sekolah Melayu Dandan Bakly hanya tinggal sejarah sahaja setelah didirikan Sekolah Bandar di kawasan tapak lain yang lebih selesa.

Seperti yang kita ketahui, hubungan Tanah Melayu dengan Pulau Jawa telah bermula sejak kurun 14 lagi. Jadi tidak hairanlah sejak dulu lagi penghijrahan bangsa keturunan jawa ke Tanah Melayu ini telah bermula. Menurut dari sumber lisan, Orang-orang Jawa ini adalah pembuka-pembuka penempatan baru di Kampung Bandar dan sekelilingnya. Meraka dikerah untuk menebas hutan, menebang balak dan sebagainya. Menurut kata sumber lagi, orang-orang jawa ini ada yang berhijrah dengan kemahuan sendiri atas dasar ingin mmemperbaiki taraf kehidupan mereka. Malah ada juga yang diculik oleh sindiket perdagangan manusia yang menyediakan bekalan buruh. Oleh sebab itu pada awal pembukaan Kampung Bandar ini lagi penduduk disini sudah hidup bersama antara bangsa Melayu Dan Bangsa Jawa.

Jugra dan Kampung Bandar, dua tempat bersejarah yang sukar dilupakan
Kampung Bandar ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Ini kerana disamping menjadi pusat pentadbiran Negeri Selangor dan bergelar Tanah Raja pada ketika itu, ia juga merupakan kampung yang didirikan diatas gabungan 6 buah kampung pada asalnya.

6 kampung tersebut ialah :-
  • Kampung Bandar (sebelah Utara)
  • Kampung Teluk Pulai (Sebelah Timur Laut)
  • Kampung Kurau (Tengah mengunjur ke tenggara)
  • Kampung Sungai Ingat & Chodoi (Tengah mengunjur ke barat daya)
  • Kampung Air Tawar (Sebelah Barat Laut)
  • Kampung Kampung Sawah (Sebelah timur Kampung Teluk Pulai)

Walaubagaimanapun menurut sumber lisan, Kampung Sawah telah pun mentadbir kampungnya secara bersendirian bermula sekitar pada penghujung tahun 70an.

# Anda boleh juga sesi temuramah versi video kisah sejarah yang terdapat di kampung Bandar. KLIK DISINI untuk menonton

Kata-kata pembuka bicara Pengerusi JKKK Kg. Bandar

Written By Unknown on Thursday, 27 June 2013 | 14:32

Assalamualaikum W.B dan selamat sejahtera.

Selamat datang kepada pengunjung laman blog rasmi Kampung Bandar, Banting atau nama komersialnya D’Bandar Village Nan Indah Bersejarah. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua warga kerja blog atas usaha, dorongan dan komitmen semua di atas kewujudan dan pelancaran blog rasmi Kampung Bandar buat julung kalinya ini. Dalam semangat kerjasama untuk menaikkan nama Kampung Bandar ini, peranan yang dimainkan oleh semua pihak yang terlibat dalam penerbitan blog ini adalah amat dihargai. Adalah diharapkan laman blog ini dapat dijadikan sebagai rujukan penduduk kampung serta semua pengunjung tidak kira dimana jua anda berada dan dapat  di layari semudah mungkin.

Penghasilan laman Blog yang menarik dan dikemaskinikan secara berterusan, saya pasti akan dapat memupuk kefahaman, keyakinan dan kepercayaan masyarakat kita terhadap ICT serta membolehkan segala perkembangan negeri dan kampung dapat diikuti oleh segenap masyarakat. Tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman parti politik saya mengharapkan masyarakat kampung dapat bersama-sama bekerjasama untuk menaikkan nama Kampung Bandar ini dimata dunia untuk memberi sumber maklumat terkini dalam penghasilan blog rasmi ini.

Seperti yang kita ketahui pengetahuan asas pengunjung luar terhadap latar belakang Kampung Bandar sebelum ini amatlah terhad. Ini disebabkan kurangnya maklumat didunia cyber berkenaan kampung kita yang kaya dengan warisan sejarah melayu yang terbilang ini. Bagi mereka yang mencintai sejarah Negeri Selangor, mereka terpaksa mengorbankan banyak masa dalam mencari maklumat lengkap dalam  mengkaji serta memahami kisah sejarah yang sebenar.

Hasil pencarian di alam cyber ini, hanya segelintir sahaja pemilik-pemilik blog peribadi yang mengongsikan maklumat monumen sejarah khususnya yang terdapat di Kampung Bandar dan Jugra secara keseluruhannya. Ia adalah satu kerugian besar bagi masyarakat kita dalam menyahut seruan kerajaan bagi memupuk semangat cintakan sejarah tanahair kerana apa yang diperolehi oleh generasi terkemudian hanyalah sekadar maklumat asas sejarah tanpa ada penghayatan yang sebenar. Maka dengan munculnya blog rasmi ini, saya berharap warga kerja blog dapat menghasilkan maklumat yang lengkap dan benar mengenai kegiatan serta kisah monumen sejarah yang ada di kampung ini bagi memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat dengat tepat dan berkesan.

Seperti kata pepatah, “kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Ini membawa maksud tanpa usaha yang bersungguh-sungguh, serta yakin dengan kebolehan yang ada, maka impian untuk menonjolkan nama Kampung Bandar ini di persada antarabangsa hanya sekadar omongan kosong sahaja. Maka setelah terhasilnya blog rasmi ini, saya menyeru agar warga kerja blog untuk terus sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam menyalurkan maklumat dan berita terkini kepada penduduk serta pengunjung laman blog rasmi Kampung Bandar ini.

Akhir kata, saya mengharapkan segala maklumat yang disalurkan dalam laman blog rasmi ini akan dapat memberi manfaat kepada semua penduduk kampung serta pengunjung dunia cyber. Sekiranya Ada penduduk kampung yang ingin berkongsi maklumat atau karya pengetahuan sejarah, sudilah sekiranya mereka untuk menghubungi JKKK Kampung Bandar ataupun menghantar maklumat serta gambar artikel berkenaan yang ingin dikongsikan ke email kampungbandarbanting@gmail.com untuk dimuat turun kedalam blog rasmi ini oleh warga kerja blog. Maka dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan ini secara rasminya saya melancarkan blog rasmi “D’Bandar Village Nan Indah Bersejarah” untuk tatapan bersama.

Sekian, Assalamualaikum.W.B.

Tuan Hj. Abdul Razak B. Jaafar
Pengerusi JKKK Merangkap ketua kampung, Kampung Bandar.
42700, Banting, Kuala Langat,
Selangor Darul Ehsan.