Majlis Perasmian Masjid Alaeddin, Kampung Bandar |
Dari segi rekabentuk masjid ini ia mempunyai ciri-ciri rekabentuk campuran India-Muslim dan Islam Timur Tengah. Ianya dikatakan mempunyai pengaruh senibina pemerintahan Deli di Medan, Sumatera Utara.
Tiang Seri dan seni ukir dinding serta mimbarnya yang unik daripada jenis kayu tahan lama dan bermutu tinggi. Bangunan utama masjid yang berkubah dikelilingi oleh dinding tinggi bertingkap jeriji. Di setiap sudut terdapat menara yang sederhana tingginya. Di tengah dinding bahagian hadapan masjid pula dibina menara azan bersegi delapan yang mempunyai dua aras tinjauan, berkubah keemasan di puncaknya. Keseluruhannya ibarat kubu kota pertahanan yang mengelilingi sebuah istana raja.
Keratan Akhbar Pembukaan Masjid Alaeddin Kampung Bandar |
Sultan Alaeddin sedang memberi khutbah di Masjid Bandar |
KEPUTUSAN FATWA NEGERI SELANGOR
“Pada 16 April 2002 Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor telah bersidang dan sebulat suara memutuskan bahawa Masjid Alaeddin adalah wakaf oleh Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah. Menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 1989, Pentadbir harta wakaf adalah Majlis Agama Islam Selangor. Sesuatu harta yang diwakafkan itu telah menjadi milik Allah secara mutlak, maka ia tidak boleh dilakukan kepadanya secara transaksi. Oleh yang demikian, 'Akta Benda Purba' dalam hal ini tidak terpakai. Adalah menjadi tanggungjawab Ahli Jawatankuasa Masjid untuk mengekalkan struktur asal atau diubahsuai dengan tujuan bagi keselesaan jemaah serta dapat dimanfaatkan sepertimana yang diharapkan oleh Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah.”
Selepas kemangkatan baginda, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah, masjid ini hanya digunakan oleh penduduk setempat. Semenjak keputusan Fatwa Negeri Selangor ini dikeluarkan, Semenjak itulah kerja-kerja membaik pulih sering dilakukan Demi kepentingan agama, dan keselesaan para jemaah yang hadir, kerja-kerja menaik taraf juga giat dilakukan. Banyak pengubahsuaian dan tambahan telah dijalankan, terutama sekali pada bahagian dalamannya. Keseluruhan dinding dalaman telah disolek dengan penyudah kayu beralur, manakala sebelah dalam kubah telah dilitupi dengan siling kayu dekoratif, dihiasi dengan motif Kalimah Shahadah & nama-nama Khulafa' Arrasyidin. Bentuk asal kubah dari dalam sudah tidak kelihatan lagi.
Mimbar Masjid Alaeddin Kampung Bandar |
Selain itu, dikawasan Masjid Alaeddin ini juga telah dibina rumah kakikatangan masjid seperti imam, bilal dan siak. Terdapat juga dewan besar untuk kegunaan AJK masjid serta majlis-majlis tertutup. Dipendekkan cerita atas keperihatinan Jabatan Agama Islam Selangor, Kerajaan Negeri Selangor dan juga AJK masjid, segala kemudahan prasarana di masjid ini sememangnya melengkapi.
Masjid Alaeddin telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak tanah Bersejarah di bawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976 pada 24 Julai 1980. Ia juga didaftarkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada 2008 oleh Jabatan Warisan Negara. Perkara ini disahkan oleh Pesuruhjaya Warisan, Dato Profesor Emeritus Zuraina Majid
INFO TAMBAHAN :
- Sebelum terbinanya Masjid Bandar ini, terlebih dahulu sebuah masjid telah dibina di Kampung ini. Walaubagaimanapun hanya tapak masjid sahaja yang masih tinggal dah terletak di kawasan Makam Diraja Kampung Bandar. Untuk mengetahui mengenai Masjid lama Kampung Bandar ini, sila baca DISINI
- Untuk melihat koleksi gambar-gambar di Masjid Alaeddin ini, sila KLIK DISINI
PETA LOKASI
SUMBER :
dri-masjid.blogspot.com
Wangsa Mahkota Selangor
Majlis Daerah Kuala Langat
e-fatwa
JKKK,JKKKP dan Penduduk Kampung Bandar
0 comments:
Post a Comment