At Blog to fb At Blog to fb At Blog to fb

Istana Sultan Alaeddin Kampung Bandar

Written By Unknown on Sunday 7 July 2013 | 05:41


Istana Alaeddin atau lebih dikenali dengan nama Istana Bandar adalah antara monumen-monumen sejarah di Kampung Bandar yang masih lagi wujud sehingga kini selain Masjid Bandar dan juga Sekolah Kebangsaan Bandar. Nama Istana Alaeddin ini diberi sempena mengambil nama Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, Sultan Selangor ke 5 (1898 - 1938)

Almarhum Sultan Alaeddin Suleiman Shah telah mendirikan istana ini di awal zaman pemerintahannya iaitu pada 1899 di Kampung Bandar lebih kurang 8 batu atau 13 kilometer dari pekan Banting, Kuala Langat dan juga terletak bersebelahan dengan Masjid Alaeddin Bandar. Tapak bangunan ini berhampiran dengan sungai dan jalan raya yang menghubungkan Bandar Temasya dengan Jugra dan Klang. Setelah kawasan ini dibuka dan dibangunkan, ramai pendatang dari luar seperti orang orang Jawa datang bertapak dan memajukan kawasan ini.



SEJARAH DAN ASAL USUL PEMBINAAN

Menurut sejarah, istana ini dibina semasa berlakunya krisis dalam istana tersebut berkenaan peristiwa ketidaksefahaman yang berlaku antara isteri Sultan Alaeddin iaitu Tengku Ampuan Mahrum dan isteri baginda dari kalangan orang kebanyakan. Namun begitu pada dua hingga tiga tahun pertama, istana ini digunakan sebagai tempat bersemayam baginda sultan bersama isteri baginda iaitu dari keturunan orang kebanyakan.


Sejak ditabalkan secara rasminya dan bersemayam di Istana Mahkota Puri, Klang, Sultan Alaeddin sering berkunjung ke Bandar untuk beribadah di Masjid Alaeddin di samping menemui isteri baginda, Hajah Safiah di istana ini. perkara ini terus berlarutan sehinggalah isteri baginda mangkat pada tahun 1920-an.


Keseluruhan bangunan istana ini direka bentuk dan dibiayai oleh Sultan Alaeddin dan baginda bersemayam di istana ini lebih kurang 35 tahun sehinggalah baginda mangkat pada 1938. Menurut riwayat juga, di istana inilah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor ke 8 (1960 - 2001) diputerakan pada 8 Mac, 1926 yang lalu.

PERANCANGAN DAN KONSEP REKA BENTUK

Istana Alaeddin di Kampung Bandar dibina secara berperingkat pada tahun 1899 dan siap sepenuhnya pada tahun 1903 di atas tanah seluas 12.96 ekar. Bangunan istana ini mirip senibina Islam dari India dan Timur Tengah terutamanya dari segi pahat dan seni ukir yang ada pada bahagian tingkap dan pintu. Selain itu ia juga  diterapkan dengan unsur-unsur ukiran dan ragam hias pengaruh  Cina.


Reka bentuk bangunan Istana Alaeddin ini adalah campuran di antara seni bina tempatan dan kolonial. Jika diteliti pada bahagian bumbung, kita dapati sedikit sebanyak pengaruh senibina Acheh iaitu dengan penggunaan bumbung limas. Namun jika dilihat pada tampak bangunan tersebut, ianya berbentuk simetrikal dan pada tiang-tiangnya pula terdapat beberapa pengaruh rekabentuk Roman, Gothic serta penggunaan dinding bata yang tebal.

Istana ini dibahagikan kepada tiga hierarki ruang yang utama iaitu ruang umum bagi kegunaan rakyat, ruang separa umum untuk pekerja istana dan ruang persendirian yang dikhaskan bagi kerabat dan golongan diraja. Ruang yang terletak di tingkat pertama lebih bercirikan kepada ruang umum dan separa umum manakala ruang di tingkat bawah terdiri daripada bilik-bilik. Istana ini mempunyai 40 bilik kesemuanya.


Bangunan istana ini juga mempunyai kawasan lanskap yang menarik serta kolam tadahan air yang terletak di bahagian hadapan istana. Selain daripada itu, terdapat juga beberapa buah kolam mandi baginda sultan serta kaum kerabat banginda yang dibina di dalam kawasan bangunan Istana Bandar.

Disamping itu terdapat juga sebuah "taman larangan" yang dikhaskan hanya untuk kegunaan puteri-puteri dan ahli keluarga baginda sultan untuk bermain-main ataupun bersantai ketika itu. Justeru, tidak hairanlah sehingga kini masih lagi terdapat sebuah tembok yang mencatatkan perkataan "ingat-ingat jalan kecelakaan" yang mungkin bermaksud  dan bertujuan melarang orang luar daripada memasuki kawasan taman berkenaan kecuali kaum kerabat baginda Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah sahaja.


Ketika zaman pemerintahan baginda sultan terdapat juga beberapa bangunan  lain di dalam persekitaran bangunan Istana Bandar tersebut. Di antaranya adalah rumah kelab, pejabat, stor simpanan senjata dan sebagainya. Namun sehingga kini hanya bangunan Istana Bandar sahaja yang masih tersergam kukuh kerana bangunan-bangunan yang lain dipercayai telah dirobohkan ataupun runtuh akibat tiada usaha-usaha untuk pengekalan dan pemuliharaan bangunan-bangunan tersebut suatu ketika dahulu.

ELEMEN REKA BENTUK DAN BAHAN BINAAN

Keseluruhan bangunan ini dibina daripada batu-bata dan konkrit. Dindingnya terdiri daripada dinding tanggung beban dan dinding dari jenis tiang dan alang. Bahagian koridor dan bahagian ruang yang luas di tingkat atas menggunakan sistem struktur rentangan. Lantai bagi ruang tingkat bawah dibina daripada lantai konkrit berjubin manakala ruang atas keseluruhan istana menggunakan lantai kayu cengal.


Terdapat banyak tangga yang digunakan untuk ke dalam dan keluar istana dan di antaranya ialah tangga utama pada bahagian hadapan di mana ia berbentuk melengkung dan diperbuat daripada konkrit serta dihiasi dengan kekisi dan minaret pada bahagian atasnya. Tangga yang berdekatan bilik beradu pula dikhaskan untuk golongan kerabat diraja sahaja. Terdapat juga tangga kayu yang digunakan dan diperbuat daripada kayu cengal.

Istana ini mempunyai 27 bukaan tingkap yang mengunakan panel kayu iaitu kayu ram boleh laras dan saiznya bergantung kepada fungsinya samaada untuk bukaan di ruang utama awam atau ruang peribadi. Pintunya pula kebanyakannya dibina daripada kayu dan ia juga bergantung kepada fungsi dan kegunaannya.


Struktur tiang bahagian bawah dibina daripada batu bata dan dipenuhi dengan ukiran dan motif tumbuhan, manakala struktur tiang di bahagian atas agak lebih kecil iaitu berukuran 400 m x 400 mm. Keseluruhan istana ini ditutupi dengan bumbung limas, namun aras bumbung limas ini berbeza-beza ketinggiannya kerana dikatakan untuk menggambarkan struktur hierarki pentadbiran dalam istana.

Bumbung bertingkat pula dibina untuk menutupi ruang utama yang dikhususkan untuk keluarga diraja, ruang dapur dan balai nobat manakala bumbung rata ditambah pada awal 1900 semasa istana ini diubahsuai.

KEMUSNAHAN DAN PROSES MEMBAIK PULIH

Selepas Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah mangkat pada tahun 1938, istana ini telah ditinggalkan sepi. Lama kelamaan, tanpa penjagaan dan penyeliaan, sedikit demi sedikit bangunan istana ini runtuh dimamah usia. Pada jangkaan awalnya, nampak akan bakal terjadi kehilangan monumen warisan sejarah negeri untuk selama-lamanya. Walaubagaimanapun , sekitar penghujung tahun 80-an, inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk membaik pulih kerosakan teruk yang menimpa istana ini amatlah dipuji. Dan akhirnya pada tahun 1990, Istana Bandar ini telah siap dibaik pulih sepenuhnya.


Selepas proses pembaikan ini, kerajaan negeri telah menjadikan istana ini sebagai Pusat Kraftangan Daerah. Tetapi Pusat Kraftangan ini tidak kekal lama kerana kurangnya mendapat sambutan dan promosi. Pada pertengahan Jun 1997, istana ini telah dijadikan pula sebagai Pusat Tahfiz Al-Quran oleh Jabatan Agama Islam Selangor. Walaubagaimanapun Pusat Tahfiz di bangunan istana ini hanyalah seketika sahaja sementara menantikan bangunan kompleks Maahad Tahfiz siap dibina. Akhirnya pada penghujung tahun 1999, Istana ini kembali dikosongkan semula setelah Pusat Tahfiz berpindah ke kompleks Maaahad Tahfiz yang terletak bersebelahan dengan bangunan istana ini.

Pada tahun 2008, satu majlis Penyerahan Tapak oleh Lembaga Muzium Selangor kepada Jabatan Warisan Negara bagi melaksanakan Projek Kerja-kerja membaikpulih dan konservasi Istana Bandar telah dilakukan dengan kos sebanyak RM1.9 juta. Pada peringkat awalnya,  kerja-kerja tersebut dijangka siap pada Ogos 2009, tetapi telah dilanjutkan sehingga ianya siap dan diserahkan semula kepada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri selangor (PADAT) pada Disember 2010.


Kini setelah lebih daripada satu abad Istana Bandar yang pernah menjadi satu simbol kebanggaan dan kemegahan buat Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah Alhaj, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) sedang berusaha untuk merealisasikan pembangunan Istana Bandar sebagai salah satu destinasi tarikan pelancongan khususnya di Daerah Kuala Langat  dan di Negeri Selangor secara amnya.

KESIMPULAN

Istana Sultan Alaeddin ini menggambarkan seni bina yang dianggap unik bukan sahaja dari aspek kronologi sejarahnya tetapi juga dari aspek reka bentuk terutamanya dari aspek penggabungan senibina pelbagai bahasa iaitu kolonial dan bahasa tempatan tetapi disesuaikan mengikut konteks kehidupan dengan elemen bahan binaan dan keupayaan teknologi moden. Ia memaparkan hasil karya seni bina yang berbeza dan merupakan hasil warisan seni bina yang terunggul di rantau Asia Tenggara ini.


Adalah menjadi harapan Perbadanan Adat dan Warisan Negeri selangor (PADAT)  agar matlamat penubuhan Muzium Istana Bandar dapat direalisasikan bagi membolehkan masyarakat dan para pengkaji mengenalpasti peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku di persekitaran Istana Bandar yang kini banyak menyimpan kenangan silam.


PETA LOKASI



SUMBER


Untuk melihat lebih banyak gambar-gambar berkenaan bangunan Istana Alaeddin Kampung Bandar ini, sila KLIK SINI





Share this article :

9 comments:

  1. assalamualaikum,
    admin ada tak sejarah bukit jugra?

    ReplyDelete
  2. fungsi istana bandar di masa kini ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebagai muzium tarikan pelancongan Kuala Langat

      Delete
  3. Boleh ceritakan siapa yang menguruskan pembinaan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. perbadanan adat melayu dan warisan negeri selangor

      Delete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. siapa pemilik isana tersebut sekarang?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Perbadanan Adat dan Warisan Negeri selangor (PADAT)

      Delete
  6. admin .. nak tanya sejarah Intan Baiduri ada related dgn Sir Alaedin ke ?

    ReplyDelete